Harian Metro: Ahad, 7 November 2010

11:28 AM

TELUK INTAN: Tindakan seorang abang membawa adiknya ke pasar malam kerana rindu lama tidak bertemunya berakhir dengan tragedi selepas kedua-duanya terbunuh apabila motosikal dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di tepi jalan di Sungai Tiang Baroh, Selekoh, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang, Ahmad Zia-ul Imran Ahmad Jalaluddin, 4, membonceng di bahagian depan, meninggal dunia di tempat kejadian manakala abangnya yang menunggang motosikal, Ahmad Zia-ul Ikmal, 15, menghembuskan nafas terakhir tidak lama kemudian ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Selekoh.


Kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.

Rakan Allahyarham Ahmad Zia-ul Ikmal, Muhammad Nafis Baharu, 15, yang membonceng di belakang hanya cedera ringan dan turut menerima rawatan di klinik sama.


Menyayat hati, kejadian berlaku ketika semua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Selekoh selepas ke pasar malam di Sungai Tiang Baroh.


Difahamkan, Ahmad Zia-ul Ikmal membawa adiknya bersama ke pasar malam berkenaan bagi melepaskan rindu kerana sudah lama tidak bertemu adik bongsunya memandangkan arwah bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam, Selangor dan baru pulang ke rumah sempena cuti Deepavali.


Keluarga mangsa, terutama ibu mereka, Makhtum Yusuf, guru kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup dan suami, Ahmad Jalaluddin Yassin, juga guru di SMK Seri Muara di sini, tidak dapat ditemubual kerana masih trauma dengan tragedi meragut nyawa dua ahli keluarga mereka sekali gus itu.


Jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiang Darat, di sini, kira-kira jam 3 petang semalam di dalam satu liang lahad.

You Might Also Like

0 comments

Alma Mater